Wednesday, February 2, 2011

PENGUMUMAN BERKENAAN SITUASI TERKINI DI MESIR






PENGUMUMAN BERKENAAN SITUASI TERKINI DI MESIR

·                     Situasi terkini di Mesir dilaporkan bergolak berikutan pengumuman Presiden Hosni Mubarak untuk tidak bertanding di dalam pilihan raya Presiden pada bulan September 2011. Klasifikasi tahap keselamatan dinaikkan ke tahap MERAH : keselamatan rakyat sudah tidak dapat dipastikan/dijamin. Gerakan pemindahan (evacuation) diperlukan.

·                     Memandangkan keadaan semakin meruncing, YAB Perdana Menteri telah mengambil keputusan supaya Kerajaan memindahkan semua pelajar dan rakyat Malaysia dari Mesir. Bagi maksud ini Kerajaan akan:

i)                    Menghantar tiga (3) buah pesawat Charlie 130 secara berperingkat ke Mesir mulai tengah hari ini. Ketiga-tiga pesawat tersebut akan di muatkan dengan bahan makanan dan peralatan perubatan secukupnya untuk di bawa ke Kaherah bagi diagihkan kepada pelajar Malaysia. Selain itu, pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Air Asia akan digunakan untuk pemindahan pelajar/rakyat Malaysia dari Mansourah dan Iskandariah ke Jeddah;

ii)                  Kesemua pelajar dan rakyat Malaysia akan dipindahkan dari Mesir dan ditempatkan sementara di Jeddah sebelum dihantar pulang ke Malaysia. Kita akan berusaha membawa mereka pulang ke tanah air dengan menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), Air Asia serta pesawat-pesawat lain secepat mungkin. Proses ini dijangka mengambil sedikit masa mandangkan jumlah penuntut Malaysia yang ramai; dan

iii)                Selain dari itu, kapal Bunga Mas (BM5) yang kini berada di Teluk Aden juga akan digunakan untuk pengangkutan penuntut dan rakyat Malaysia ke Jeddah.

·                     Satu perjumpaan telah diadakan oleh delegasi yang diketuai oleh YB Senator A. Kohilan Pillay, Timbalan Menteri Luar Negeri dengan Pegawai-pegawai Rumah Negeri dan wakil-wakil pelajar di Mesir. Rumusan yang boleh dibuat adalah bahawa keadaan pelajar Malaysia di Mesir dalam keadaan  terkawal dan moral mereka tinggi.

·                     Di antara langkah-langkah yang diambil untuk memastikan keselamatan dan kebajikan mereka  terpelihara, beberapa tempat telah dijadikan kawasan perlindungan. Tempat tersebut adalah di Dewan Malaysia Abbasiah, Rumah-rumah Negeri di Kaherah dan Rumah MARA di Iskandariah.
 
·                     Bagi memastikan keselamatan mereka serta keperluan harian mereka mencukupi, Kerajaan akan meningkatkan kawalan keselamatan serta menyalurkan dengan segera keperluan makanan dan minuman kepada mereka.  

·                     Menempatkan pegawai Kedutaan dengan segera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk membantu pelajar dan warganegara Malaysia yang terkandas selain dari membekalkan makanan dan minuman yang cukup kepada mereka serta membantu dalam urusan penempahan tiket mereka.  

·                     Semalam seramai 150 orang pelajar  dan rakyat Malaysia yang terkandas sejak 29 Januari 2011 telah berjaya pulang dengan pembiayaan sendiri.

·                     Semua penuntut dan rakyat Malaysia yang berada di Mesir kini adalah dilaporkan selamat. Pihak Kedutaan Besar Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa di Mesir dan melaporkan sebarang perkembangan terkini kepada Kementerian Luar Negeri.

·                     Pihak Kerajaan juga ingin menggesa rakyat Malaysia terutamanya ibu bapa supaya membatalkan semua perjalanan/lawatan yang tidak penting (non-essential) ke Mesir memandangkan kesukaran mendapatkan penerbangan pulang serta kesesakan di lapangan terbang. Manakala rakyat Malaysia yang berada di Mesir pula telah dinasihatkan mematuhi arahan pihak berkuasa Mesir termasuk arahan perintah berkurung serta mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya seperti yang dimaklumkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

·                     Rusuhan dan pergaduhan yang dilaporkan berlaku hampir kesemuanya melibatkan rakyat Mesir sahaja yang tidak berpuas hati dengan Kerajaan Mesir dan tidak melibatkan orang asing.

·                     Untuk makluman, perintah berkurung yang dikenakan oleh Kerajaan Mesir di semua bandar raya utama termasuk di Kaherah dan Iskandariah telah dipanjangkan kepada 2.00 petang sehingga 8.00 pagi. Walau bagaimanapun, penunjuk perasaan masih berdemonstrasi di kebanyakan bandar raya utama.

·                     Selain itu semua saluran komunikasi melalui internet/e-mel serta sistem pesanan ringkas (SMS) di kawasan Kaherah, Iskandariah dan beberapa tempat lain masih lagi digantung operasinya oleh Kerajaan Mesir. Walau bagaimanapun, talian telefon bimbit boleh digunakan, tetapi terhad.  

·                     Berkenaan aduan umum berkenaan kelewatan tindakan yang diambil oleh Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah berkenaan perkara ini, pihak Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia telah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memaklumkan keadaan terkini kepada semua rakyat Malaysia di Mesir. Pihak Kementerian dan Kedutaan juga telah membuka bilik operasi 24 jam sejak 28 Januari 2011 yang boleh dihubungi oleh waris rakyat Malaysia di Mesir. Walau bagaimanapun, keadaan talian telefon yang kurang stabil di Mesir telah mengakibatkan perhubungan dengan pihak Kedutaan terganggu. 

                      Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah boleh dihubungi seperti berikut:

Bilik Operasi, Kementerian Luar Negeri, Putrajaya
Tel:  03-88892746 / 03-88874570 / 03-88874770 / 03-88892830 / 019-2784566 / 019-3414080 / 019-3154080

Bilik Operasi, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir
Tel:  00 202 3760 7375 / 00 202 3761 0270   (Nombor Baru)



Jawatankuasa Petugas Khas Pengurusan Krisis
Wisma Putra, PUTRAJAYA

2 Februari 2011



sumber DI SINI
p/s: sama sama kita berdoa untuk mereka di sana

9 comments:

Unknown said...

smoga kekacauan di mesir segera pulih amin...

Hairun Azmi said...

Semuga tiada rakyat Malaysia yang terkorban...

Rakyat Malaysia baca 2 buku setahun

Cik SHiNJU said...

Hosni Mubarak ego..xnak mengalah..
Dia rase dia kuat sbb dpt sokongan Yahudi laknatullah...Dia nye pasal,harga minyak naik lagi..

♫::: m[e]n!t! s[e]nja :::♫ said...

berdoalah...

KUREKURE COMEL said...

sama sama lah berdoa akan keselamatan mereka...

azieazah said...

Alhamdulillah... Sudah ada yang menghantar email tahniah kepada kerajaan Malaysia kerana bertindak pantas dan bijak memindahkan semua pelajar kita (600 orang rasanya?) ke Jeddah.

Malah di berita tv semalam sudah ada juga pelajar yang terus pulang ke tanahair dgn biaya sendiri.

Tiada orang berani mengambil risiko sekarang utk terus berada di sana..

Semoga keamanan akan segera dicapai..

lolitasinta polkapolkie said...

yaallah .
da ta terkawall dah ne . myk3 kn doaa tok dowg .^^

Nazsabrina Iman Zulfikar said...

semoga mereka dilindungi Allah sentiasa

Wahidah said...

diorang dtg jeddah stay mn eik..org mesia kt jeddah ne pun tk tahu...hehehe..tahu diorang akan dtg je..